Menurut Kamus Dewan (1993), perkataan wacana bermaksud ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan. Linguistik memberi maksud wacana sebagai satu unit yang lebih besar dalam satu tingkat tatabahasa, iaitu lebih besar daripada kata. Semua perkara yang melibatkan penggunaan bahasa disebut sebagai wacana. Dua pendapat yang mengusulkan asal usul perkataan ‘wacana’. Pendapat pertama mengatakan ‘wacana’ berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu ‘wocono’. Wocono ini pula daripada ‘woco’ yang bermaksud baca. Pendapat kedua pula mengatakan wacana daripada perkataan bahasa Inggeris, iaitu ‘discourse’ yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu ‘discursus’ yang bermakna ‘larian ke dan lari’.
Secara konsepnya, wacana melibatkan dua aspek yang penting, iaitu proses dan produk. Proses wacana ini melibatkan kognitif, iaitu akal fikiran kita semasa menghasilkan sesuatu wacana. Hasil yang diperoleh melalui proses wacana tadi boleh dilihat dalam bahan yang boleh dibaca atau didengari. Wacana turut mempunyai struktur yang wujud dalaman dan luaran. Struktur dalaman merujuk kepada makna seperti tautan dan runtutan. Bagi struktur luaran pula merujuk struktur yang wujud secara grafik atau fonik seperti struktur tema dan struktur maklumat.
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap dan berada pada peringkat yang paling tinggi dalam pertuturan dan penulisan untuk menyampaikan buah fikiran, perasaan dan lain-lain keperluan. Disimpulkan bahawa wacana bukan kesatuan bahasa yang hanya terdiri daripada kata atau ayat seperti yang dikatakan oleh seseorang orang. Menurut Adenan Ayob (2010), kesatuan bahasa yang paling lengkap dan luas atas kalimat atau klausa dengan koheren dan kohesi tinggi, kesinambangun dan mempunyai awalan dan akhiran nyata yang disampaikan secara lisan atau bertulis.
DEFINISI MENURUT TOKOH
Menurut Asmah Hj Omar (1986), wacana ialah keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu pelahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang ke arah menjadikan sesuatu pertuturan atau tulisan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna dalam komunikasi. Harimurti Kridalaksana (1992) pula mentakrifkan wacana sebagai kesatuan bahasa yang lengkap dan dalam heirarki tatabahasa, wacana merupakan kesatuan tatabahasa tertinggi atau terbesar. Wacana direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, siri ensiklopedia, perenggan, kalimat atau kata yang membawa yang lengkap. Wacana merupakan unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi batas ayat. Dalam hierarki bahasa, wacana terletak pada tingkat bahasa yang tertinggi, iaitu selepas tingkat ayat.
Menurut Henry Tarigan (1987) dalam buku Monograf Bahasa Melayu, wacana ditakrifkan sebagai unit atau saluran linguistik yang tertinggi, terlengkap, terbesar dari segi skalanya, supra ayat, tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan dan bertulis. Jelas beliau melihat wacana itu sebagai saluran linguistik yang berada pada peringkat tertinggi bahasa dan mempunyai talian awal dan akhir.
Sanat Md Nasir (1986) pula menyatakan bahawa wacana merujuk kepada teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satu ayat baik secara fonik atau grafik. Menurut beliau lagi, wacana juga boleh bermakna bidang kajian terhadap unit bahasa, menyamai maksud analisis wacana, analisis teks, linguistik teks, atau linguistik wacana. Menurut Sanat, wacana dapat dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu bukan dilihat dari aspek linguistiknya tetapi turut dikaikan dengan keperluan mentauhidkan Allah Yang Maha Esa.
Menurut Chafe (1992), wacana digunakan dengan pelbagai maksud. Wacana dapat dilihat sebagai suatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Istilah wacana dan teks yang digunakan saling bertukar ganti dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat. Chafe juga merupakan seorang yang mempunyai pendapat yang sama dengan tokoh bahasa yang lain semasa mendefinisikan wacana, iaitu menganggap wacana sebagai sesuatu yang melepasi had ayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan